Sebut sahaja nama Iluvislam pasti ramai yang sudah tahu tentang laman ini. Makcik-makcik di kampung pun sudah mengenalinya. Jika anda seorang pelajar universiti tetapi tidak mengenali laman ini pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Sebelum ke Mesir, saya tidak pernah mengenali laman ini. Nama pun tidak pernah dengar. Kemungkinan dek keterbatasan jaringan internet semasa di KUSZA menjadikan saya agak jauh dari dunia internet. Kesempatan memasuki makmal komputer yang terhad amatlah sesuatu yang berharga pada kami pelajar-pelajar KUSZA.
Tetapi, sekarang tidak lagi. KUSZA selepas dinaiktaraf kepada universiti penuh dengan nama baru iaitu Universiti Darul Iman Malaysia, internet boleh dicapai di asrama secara percuma. Saya tidak berkesempatan dengan dunia baru ini tetapi saya mendapat maklumat daripada kawan-kawan lama yang masih belajar di sana.
Menyingkap sejarah mengenali iluvislam ketika saya mula-mula menjijakkan kaki ke bumi Mansurah. Di Mesir internet menjadi suatu kewajipan kepada kami untuk peka terhadap isu di sekeliling. Keperluan menghubungi keluarga di Malaysia menjadikan setiap rumah akan ada satu ineternet yang ditarik daripada kedai-kedai arab.
Bermula saya di iluvislam apabila diminta oleh seorang sahabat untuk menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan di dalam forum. Seingat saya, ada beberapa forumer yang membangkitkan isu pelajar Mesir dan Al-Azhar yang menyebabkan saya terpanggil untuk menjelaskannya. Dunia forum yang begitu asing pada saya menjadikan saya sedikit emosi dengan pandangan-pandangan forumer yang lain terutama jika persoalan berkaitan wahabi dan isu khilafiyyah.
Namun sikap itu saya cuba ketepikan setelah beberapa teguran daripada sahabat-sahabat yang lain. Nama lagi berforum kan? Kalau semua sama fikrah dan ideologi, buat apa nak berforum lagi. Tujuan berforum ialah untuk saling bertukar pandangan dan sudah tentu setiap forumer mempunyai pandangan tersediri.
Selepas sebulan saya menjadi ahli forum di iluvislam, saya mendapat YM daripada akhi presiden, Imran Koyube menawarkan saya menjadi sebahagian anggota keluarga iluvislam merangkap moderator soal jawab agama. Mula-mula saya menolak tawaran itu kerana merasakan diri ini tidak selayaknya untuk memikul amanah ini memandang kepada komitmen sebagai pelajar. Namun pendekatan akhi Imran yang memberikan tempoh kepada saya berfikir menggetuskan hati kecil saya untuk turut menyumbang. Jika orang yang mendalami agama di sebuah Universiti Islam tertua yang telah melahirkan ribuan ulamak tidak mengambil tanggungjawab ini, kepada siapa lagi harus dipertanggungjawabkan?
Alasan kesibukan belajar tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada dakwah Islam. Padahal yang menguruskan laman ini, mereka juga pelajar di dalam pelbagai bidang dan semestinya mempunyai masa yang terbatas lebih-lebih lagi bidang medical. Tetapi persoalan yang perlu ditanya kepada diri kita. Jika mereka mampu melakukannya, kenapa kita tidak?
Penglibatan pelajar Al-Azhar dan Universiti Islam di Timur Tengah seperti Syiria, Jordan, Yaman, Morocco dan lain-lain agak kurang. Kemanakah gerangan mereka yang bilangan mereka mencapai puluhan ribu. Apakah kita tidak merasakan ilmu kita akan ditanya kelak? Tidakkah kita menyedari masyarakat di luar sana yang terlalu dahagakan ilmu Islam mengharapkan penglibatan kita?
Jika alasannya tidak alim dan belum cukup ilmu. Saya juga tidak alim. Kawan-kawan yang lain juga masih belajar. Tidakkah ini salah satu cara untuk kita belajar? Nak tunggu alim sampai bila syeikh? Jika ada persoalan-pesoalan daripada forumer yang memerlukan kita merujuk kitab, kita akan rujuk kitab. Kita ada rakan-rakan moderator yang lain untuk saling berbincang dengan setiap persoalan yang dibangkitkan. Jadi apa lagi alasan kita?
Saya melihat inilah peluang keemasan dalam melebarkan sayap dakwah. Jika kita marah kepada mereka yang menjadikan internet sebagai wadah untuk menghetam Islam tetapi mengapa kita tidak menjadikan ia sebagai alternatif untuk menjelaskan kefahaman yang betul tentang Islam? Islam diserang daripada semua penjuru. Permasalahan syiahnya, wahabinya, Islam liberal, anti hadis dan yang seangkatan dengannya sayugia kita mempertahankannya daripada penjuru yang kita berada padanya.
Di kesempatan ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat yang berada di Mesir khususnya untuk sama-sama membantu iluvislam dengan apa jua cara yang termampu. Semoga kecil usaha kita tetapi dipandang besar di sisi Allah..
Kini iluvislam semakin hari semakin berkembang dan diterima ramai. Iluvislam mencatatkan sejarah tersendiri kerana telah diambil sebagai anak angkat oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Karangkraf sebuah syarikat bumiputera yang sangat berjaya. Karangkraf akan membiayai segala perbelanjaan Iluvislam termasuk pembayaran server bermula Mei 2009.
Saudara Imran Koyube, Presiden Iluvislam bersama CEO Karangkraf, Dato’ Hussamuddin
Krew Iluvislam mendengar taklimat semasa lawatan sambil belajar di lobi Karangkraf
Teruja nampaknya Tuan Presiden kita Bersama Pengarah Graphic/Design Bahagian Majalah
Sebahagian krew iluvislam semasa sesi ta’arruf
Bergambar bersama CEO Kumpulan Karangkraf sebelum makan tengah hari.
ya betul kata ustaz tu.siapa lagi nak diharapkan utk menjawab persoalan agama kalau bukan mereka yg belajar dalam bidang agama.
ReplyDeletebetul kata ustazah..sayugia kita manfaatkan medium2 sebegini dalam menyampaikan dakwah..syukran ustazah..
ReplyDeleteUstaz Amin mmg mantap dah,,,,,
ReplyDeleteSyeikh kimi lagi mantap..tok guru besar ni..
ReplyDelete