Ini antara isi kuliah maghrib Al-Amin Daud di surau Pasir Tumboh berhadapan SMU(A) Taqaddum Maarif pada malam Khamis 28/8/08.
Puasa Ramadhan merupakan satu rukun daripda 5 rukun Islam. Ramadhan merupakan suatu bulan yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala khusus kepada ummat Nabi Muhammad SAW tidak kepada umat-umat Nabi-Nabi terdahulu. Padanya terdapat seribu kebaikan yang tidak ternilai hitungannya.
Ramadhan merupakan bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan daripada api neraka seperti hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi Radiyallahu 3anhu ;
وهو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
“Dialah satu bulan awalnya ada rahmat pertengahanya ada keampunan dan penutupnya ada pelepasan dari api neraka”
Puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga sepertimana sabda Nabi SAW :
كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
Mafhumnya : Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.
Bagi puasa itu ada rupa dan ruh. Rupa puasa itu menahan diri dari makan, minum dan jima3 pada siang hari, bermula terbit fajar hingga terbenam matahari. Manakala ruh puasa itu, menahan diri dan hati dari melakukan segala perkara yang dibenci oleh Allah Ta3ala.
Apa ertinya mulut kita berpuasa dari makan dan minum tetapi tidak berpuasa dari bercakap perkara-perkara yang sia-sia? Tidak berpuasa dari mengumpat, bercakap bohong dan sebagainya. Sabda Nabi SAW :
خمس يفطرن الصيام الكذب والغيبة والنميمة واليمين الكاذب والنظر بشهوة
Maksudnya Lima perkara yang mebatalkan pahala puasa ; 1)Berbohong.2)Mengumpat.3)Mengadu domba.4)Bersumpah dusta.5)Melihat dengan syahwat.
Mungkin pada zahirnya kita dilihat sebagai orang yang berpuasa tetapi di sisi Allah, puasa kita tidak dipandang dan dinilai oleh Allah SWT sedangkan pahala bagi orang yang berpuasa dibalas sendiri oleh Allah kerana tidak terhingga hitungannya.
إنه لي وأنا أجزي به
“Sesungguhnya puasa itu bagi aku dan aku akan membalasnya”
Hikmah daripada puasa itu untuk menjadikan kita sebagai hamba yang bertaqwa. Seperti firman Allah Ta'ala :
كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون–البقرة 183
Difardhukan puasa ke atas kamu sepertimana difardhukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.
Taqwa bermaksud menuruti segala perintah Allah Ta'ala dan meninggalkan segala larangan-Nya imma kita suka atau tidak waimma kita merasa susah atau senang maka kita wajib melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan ke atas kita dan meninggalkan segala larangan yang ditegah walaupun kita merasakan perkara itu kecil pada nilaian kacamata kita.
Ibnu Mas3ud Radiyallahu 3anhuma menyatakan ada 4 syarat untuk dikira sebagai muttaqun; 1)Takut kepada Allah. 2)Ta3at kepada Allah. 3)Sentiasa mengingati Allah. 4)Menjadi 3abdan syakura (hamba yang bersyukur)
Ramadhan hanya datang sekali setahun. Apakah masih ada peluang untuk kita pada tahu hadapan? Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui apakah dia akan menemui Ramadhan pada tahun hadapan. Jadi, ayuh! Rebutlah peluang yang ada di hadapan kita sekarang semoga kita tidak tergolong dari orang-orang yang rugi.
Comments
Post a Comment