Skip to main content

Coretan pengalaman…

Imtihan datang lagi. Imtihan ana akan bermula pada 11.5 untuk syafawi al-Quran. Termit thani ini, ana ada 4 mawad termasuk al-Quran. Ana masih lagi mengajar untuk membantu sahabat-sahabat yang lain dalam memahami kitab kuliah mereka sebagai persediaan menjawab soalan duktur atau dukturah.

Seminggu yang lepas, ana telah tamat membantu adik-adik ustazah tahun satu untuk madah milal wa nihal. Di antara topik yang dibincangkan ialah mengenai agama-agama masyarakat hindu seperti agama handusiah, budha, jiniyyah, agama mesir kuno, kristian atau masihiyyah dan juga yahudi.

Kitab yang masih belum tamat untuk madah falsafah islamiah. Ana diminta untuk membantu sahabiah tahun akhir syu’bah tafsir dan hadis.

Kadang-kadang risau juga bila membaca kitab orang, kitab sendiri masih “suci” tidak dinodai. Tetapi berpegang kepada prinsip yang sesuai dengan Sabda Nabi SAW;

“bila kita tolong orang lain dan memudahkan urusan orang lain, Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita”

Dengan mengajar kita belajar. Teringat kepada kalam tasyji’ abah ana ketika memberikan semangat kepada ana untuk mengajar. “Bila kita mengajar ilmu kita akan bertambah dan Allah akan campakkan dalam hati kita ilmu-ilmu dan ilham-ilham yang tidak kita sedari”.

Menyingkap pengalaman bercakap di hadapan orang semasa ana berada di Ma’ahad Muhammadi. Ana selaku dhobit (pengawas) sekolah diberikan amanah untuk membaca doa ketika thobur (perhimpunan) dan juga menyampaikan tazkirah sebelum solat di masjid sekolah.

Teringat kali pertama diamanahkan membacakan doa di hadapan sahabat-sahabat yang lain. Ana terlupa doa. Padahal doa yang dibacakan adalah doa yang biasa dibacakan melalui corong speaker selepas tamat sesi persekolahan. Berdiri di hadapan orang ramai, menggelapkan mata ana sehingga terlupa apa yang ingin disampaikan. Ana ulang beberapa kali doa tersebut dan alhamdulillah akhirnya selesai percubaan pertama.

Percubaan kedua ketika ana menyertai perkhemahan kadet polis peringkat negeri kelantan. Selesai solat maghrib, sarjan pasukan merangkap ketua meminta wakil untuk memberikan tazkirah. Kerana tidak ada yang sanggup maka ana mewakilkan diri walaupun merasa gugup dengan bilangan jemaah yang ramai. Setiap sekolah di Kelantan menghantar satu platun mewakili pelbagai aliran sekolah. Kebiasaanya kami daripada Maahad Muhammadi selaku pelajar sekolah agama diberi keutamaan untuk memimpin solat dan sebarang aktiviti keagamaan.

Ana mulakan tazkirah ana dengan membaca hadis mengenai kepimpinan. Ana menyentuh beberapa persoalan mengenai kepimpinan dan tidak sampai 5 minit ana mula tidak tentu arah. Idea entah ke mana dan perasaan gementar menguasai jiwa. Alhamdulillah sarjan merangkap ketua tadi cuba menamatkan sesi tazkirah maghrib tadi.

Dua peristiwa tadi mengajar ana seribu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana hyper market. Daripada situ, ana cuba melangkah ke hadapan dengan lebih berani dengan menambah koleksi ilmu di dada. Ana menyedari, berada di dalam bidang agama, la budda (tidak dapat tidak) ana mesti menguasai skill public speaking.

Alhamdulillah ana ditemukan dengan seorang guru yang sangat petah berbicara. 3 tahun ana berguru daripadanya sehingga ana menyambung pengajian di KUSZA. Di sini, kami dilatih untuk menyampaikan perbentangan di dalam kuliah dan bercakap di hadapan audience sepertimana di universiti lain.

Di KUSZA, ana mula diminta oleh sahabat-sahabat untuk membantu mereka memahami muzakkirat berbahasa arab. Berasaskan kepada sekolah yang berorientasikan bahasa arab, ana cuba mengajar semaksimun yang termampu. Bermula daripada semester satu sehinggalah tamat di KUSZA. Tanpa ana sedari, penguasaan bahasa arab ana semakin baik dengan keterpaksaan membelek kamus untuk mencari makna perkataan dan pembacaan yang berulang kali dalam memahami murad teks berbahasa arab dengan kaedah nahwiyyah dan balaghiyahnya.

Di KUSZA, ana pernah diamanahkan menjadi moderator untuk satu forum yang melibatkan semua pelajar KUSZA. Forum yang dinamakan sebagai forum makhluk halus yang dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong KUSZA.

Walaupun sebelum ini ana pernah juga dijemput menjadi panel sebuah forum di Sekolah Ma’ahad Muhammadi Perempuan. Namun forum makhluk halus ini agak mencabar kerana panelnya adalah pensyarah-pensyarah kami dan audiencenya terdiri daripada pensyarah dan pelajar KUSZA. Kegugupan ana jelas tampak di mata penonton. Alhamdulillah forum itu berjalan dengan lancar sehingga tamat program.

Kemudian ana diminta oleh pensyarah untuk menyertai debat bahasa arab ke peringkat intervarsity di UIA. Pada peringkat permulaan, ana tidak mempunyai keyakinan kalau ana ini mampu berdebat. Namun pensyarah-pensyarah merangkap jurulatih kami memberikan semangat dan panduan yang sangat membantu ana dan rakan-rakan yang lain untuk mara ke hadapan.

Pengalaman demi pengalaman yang ana lalui mematangkan ana dalam berkomunikasi dengan pendengar namun bukanlah bermakna ana seorang speaker yang baik kerana sampai sekarang ana masih belajar dan terus belajar. Menyampaikan ilmu lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agama bukanlah sesuatu yang enteng. Kefahaman yang jelas perlu ada kepada penyampai sebelum menyampaikannya. Jika seorang speaker tidak faham bagaimana dia ingin memahamkan audience dengan apa yang dia tidak fahami?

IMAG0046

“Semasa Debat ASEAN di USIM. Mudhakolah menggamatkan suasana debat”

S5031746

“Semasa di IKMAS Sarawak. Piala Di-Raja. Sedang mencatat point pihak lawan”

S5031741

“Bangkit sebagai anak jantan dalam mempertahankan mauqif”

S5031767

“Berdepan dengan tuan rumah USIM di peringkat suku akhir”

Menyingkap pengalaman menyertai debat, pada permulaannya ana tidak terlalu berkeyakinan. Lebih-lebih lagi berbahasa arab. Alhamdulillah selepas beberapa penyertaan, ana pernah mendapat pendebat terbaik untuk 5 pusingan berturut dan membawa pasukan ke suku akhir. Ini record peribadi yang menjadi kenangan di dalam lipatan sejarah hidup ana.

Sebelum datang ke Mesir, tidak pernah terlintas di hati untuk mengajar. Kitab-kitab ana tinggalkan kerana ana ke sini untuk belajar. Lebih-lebih lagi Mesir merupakan bumi ilmu dan medan berkumpulnya alim ulamak.

Sebagai pendatang baru, ana tidak terfikir untuk berada di depan sahabat-sahabat yang telah lama berada di bumi Mesir yang sudah tentu lebih banyak ilmu dan pengalaman. Namun, ketentuan Allah untuk mentarbiyyah hambanya yang dhaif ini mengatasi segala-galanya. Ana diminta oleh Ust Ihsan selaku exco DPM yang mengetuai mencari tenaga pengajar kelas tafaqquh untuk mengajar kitab soraf. Ana bukanlah ahli lughah dan pada permulaannya ana hanya mencadangkan kitab dan ana tidak tahu Ust Ihsan telah memasukkan nama ana sebagai tenaga pengajar. Kunjungan beliau ke rumah disangka hanya bertanya khabar dan ziarah rutin. Saya anggap kalamnya sebagai gurauan namun tidak. Akhirnya apabila jadual pengajian dikeluarkan, nama ana tertera di dalamnya.

Di sini bermulanya detik ana mengajar di Mesir. Dengan hayunan langkah perlahan ana cuba memenuhi permintaan ini walaupun merasakan begitu kerdil berada di hadapan sahabat-sahabat al-azhari yang lain. Bayangkan ana hanya beberapa bulan di Mesir dan berapa minggu sahaja di Mansurah. Ini menambahkan lagi ketidakyakinan ana untuk mengajar. Namun, ana yakin kalau ini merupakan tarbiyyah daripada Allah supaya ana lebih bersedia berhadapan dengan masyarakat di Malaysia apabila ana pulang kelak.

Ana tidak pernah merasa berbangga, jauh di sudut hati ana cuba untuk mengelak daripada mengajar di sini. Terasa begitu kerdil dan tidak ada apa yang ingin disampaikan kepada bakal-bakal ulamak yang ada di hadapan ana. Apa yang ana pegang ialah konsep muzakarah. Ana tidak pernah anggap ana mengajar tetapi sekadar muzakarah bersama sahabat apa yang tahu dan jika ada yang ana tidak tahu, ana bersedia mendengar daripada sahabat-sahabat yang lain.

Tahun ini, Ustaz Rahman kepimpinan baru menelefon ana untuk terus mengajar kelas tafaqquh. Pada permulaan ana diminta membaca kitab nahu atau soraf tetapi ana menyatakan hasrat hati untuk membaca kitab akidah kerana kitab akidah masih belum ada yang mengajar. Bukanlah lughah tidak penting namun kecelaruan akidah yang berlaku dan ana sebagai pelajar yang takhassus di dalam syu’bah akidah dan falsafah merasa terpanggil untuk menjelaskan kekeliruan yang ada dengan membaca kitab al-aqaaid ad-duriyyah yang ana sempat bertalaqqi dengan Ust Din Pondok Pasir Tumbuh atau lebih dikenali sebagai Abang Din Langgar. Amat sayang sekali jika Al-Azhari yang bakal pulang ke Malaysia sebagai ulamak yang diharapkan oleh masyarakat tidak jelas mengenai akidah ahli sunnah wal jamaah. Justeru itu ana memilih untuk berkongsi dengan sahabat dan sahabiah sekelumit apa yang ana tahu.

Alhamdulillah sambutannya agak memberasangkan. Ustaz dan Ustazah yang dahagakan ilmu dan kefahaman akidah ahli sunnah waljamaah memenuhi dewan untuk mendengar daripada ana yang dhaif ini. Bilangan yang ramai menjadikan emosi ana turun naik. Ana pernah ungkapkan kepada sahabat sahabiah yang ana dihadapan umpama itik. Itik yang berenang tampak tenang di atas tetapi jika dilihat kepada kayuhan kakinya kita akan dapati betapa kalutnya itik berkayuh. Perumpamaan inilah yang menggambarkan si kerdil ini di hadapan kalian.

Pengalaman di sini, sungguh memberi impak yang besar kepada ana apabila pulang bercuti ke Malaysia pada akhir tahun lepas. Boleh dikatakan setiap hari ada kuliah di Masjid dan surau. Setiap hari jumaat ana mengajar di Kolej Kejururawatan di Kota Bharu. Alhamdulillah sambutan dan feedback yang diterima amat baik. Berbekalkan pengalaman di Mesir ana cuba berhadapan dengan masyarakat yang lebih dewasa. Kepelbagaian audience hendaklah dihadapi dengan penuh berhikmah agar apa yang ingin disampaikan akan difahami dengan baik.

IMG_0057 “Semasa mengajar di surau kolej kejururawatan”

IMG_0058

“Sebahagian audience yang saya depani, bakal-bakal nurse”

Sedikit pengalaman ini ana kongsikan kepada pembaca. Jauh di simpang hati untuk berbangga namun sekadar perkongsiaan. Semoga anak cucu ana akan dapat membaca kisah atuknya ini suatu masa nanti.

“Sharing is caring”

Comments

  1. Salam ya ustaz,

    apa yang pernah dialami oleh ustaz, dialami juga oleh ana. memang ana juga sering menghadapi masalah terlupa apa yang kita telah rancang untuk diperkatakan walaupun sebelumnya kita telah berlatih untuk berbicara sebanyak yang mungkin. tetapi apabila berhadapan dengan semua orang, lain jadinya. apa yang dirancang untuk diperkatakan semuanya hilang. tetapi alhamdulillah, berkat niat untuk belajar, mengajar dan atas pengalaman yang ditimba, akhirnya lama-kelamaan ana rasa rasa takut, resah dan gusar itu semakin hari semakin hilang dan luput. alhamdulillah semuanya hari ini berjalan dengan lancarnya.....syukur....

    p/s: berbicara keseorangan adalah sesuatu yang berbeza jika kita berbicara di hadapan khalayak ramai....tetapi semuanya dapat diatasi dengan cuba menimba ilmu dengan orang yang lebih arif dari kita dan yang lebih penting dengan izin dariNya...

    ReplyDelete
  2. Wslm..

    Betul kata suriapelangi..Ilham itu datangnya dari Allah..Allah akan campakkan kepada hati-hati yang bersih dan tulus..pengalaman itu yang mendewasakan kita..Salah dalam melakukan lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum ustaz,
    sesekali ustaz mengimbau pengalaman...hehehe.Insya Allah,moga yang ustaz kongsi mendapat rahmat dan barakah dari Allah.

    salam ziarah & ukhuwah.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam..
    Saje rasa nak tulis pengalaman untuk tatapan anak cucu..jazakallahu khairan jaza'..

    ReplyDelete
  5. wah bagus2.bismillahi masya-ALLAH.tak hilang lg jeles ni tgk org byk ilmu ish3.msti nurse tu semua jadi S.A (secret admirer) ust walaupun cuma dpt jumpa seminggu sekali jer hehe

    ReplyDelete
  6. ana jeles gak dgn ustazah sbb tulisan mantap..ana ni tak pandai mana nak buat ayat-ayat bunga ni..ayat kitab kuning boleh la..hehehe..

    Jadi S.A??mana ada..siapalah kita ni kan..kan..huhuhu..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Al-Quran itu qadim

Sebelum daripada kita memahami Al-Quran itu qadim maka kita fahami dahulu makna qadim dan pembahagiannnya supaya jelas kefahaman kita mengikut pengajian ilmu tauhid.

Apakah yang dimaksudkan dengan qadim. Qadim bermaksud tidak ada permulaan bagi adanya. Di dalam bahasa arab qadim juga bermaksud lama tetapi bukan ini yang dimaksudkan dengan qadimnya kalamullah (al-Quran) kerana lama itu ada permulaannya.. seperti kita katakan bangunan itu lama.. lama di sini menunjukkan adanya permulaan kepada adanya bangunan tersebut.

Ulama’ ilmu kalam atau ilmu usuluddin membahagikan qadim itu kepada 3 ;

1) Qadim zamani.
2) Qadim idhofi.
3) Qadim zaati.

Qaqim zamani : Qadim yang melibatkan masa. Qadim ini ada permulaan bagi adanya. Seperti contoh yang kita sebutkan di atas. Bangunan itu qadim. Bangunan itu lama. Tetapi lamanya ada permulaan.

Qadim idhofi : Qadim yang meibatkan sandaran atau nisbah. Seperti kita katakan ayah lebih qadim daripada anak. Seorang ayah lahirnya sebelum lahirnya si anak. Mustahil p…

Dua tangan Allah??

Menjawab kepada persoalan akhi oo Raiser di chatbox mengenai ayat 75 surah sod. Syubhah yang dibawa oleh golongan wahabi yang tidak kunjung padam ini telah mengelirukan ramai orang. Menjadi tanggungjawab kepada yang tahu untuk menjelaskannya dan menjadi fardhu kifayah sepertimana yang disebut di dalam kitab-kitab akidah.
Soalan akhi oo Raiser : Bagaimana nak takwil ayat [aku menciptakan kau dgn dua tangan]? sebab ada yang bertanya pada ana, kalau tangan tu ditakwilkan dengan kuasa maknanya dua tangan tu dua kuasa la, ana nak je jawab soalan tu tapi ikut akal la, tapi takut tak valid.
Firman Allah yang dimaksudkan akhi;
قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْعَالِينَ“(Allah) berfirman wahai iblis apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu merasa (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?” (Terjemahan mengikut Al-Quran dan terjemahan Ja…

Sejarah Ringkas Kaum Musyabbihah/Mujassimah

"Gambaran tuhan bg agama yahudi yang duduk di atas arasy"
Kaum musyabbihah ertinya kaum yang menyerupakan. Kaum musyabbihah digelari kaum musybih (menyerupakan) kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya. Mereka mengatakan bahawa Allah bertangan, berkaki, bertubuh seperti manusia.
Ada juga orang yang menamakan kaum ini dengan “kaum mujassimah”, yakni kaum yang mengisbatkan tubuh kerana mereka mengisbatkan tubuh bagi Allah. Mereka mengatakan Allah bertubuh terdiri daripada darah, daging, bermuka, bermata, bertangan, berkaki bahkan ada yang mengatakan bahawa Allah itu mempunyai alat kelamin dan kelaminnya itu laki-laki. (lihat syarah nahjul Balaghah juzuk iii, hal. 255).
Ada juga orang yang menamakan mereka dengan “kaum hasyawiyah”.
Hasyawiyah ertinya percakapan kosong, percakapan di luar batas, percakapan hina-dina. Jadi, mereka itu adalah kaum “bercakap kosong”.
Kebanyakan kaum musyabbihah atau mujassimah ini berasal dari orang-orang yang bermazhab Hanbali, tetapi Imam A…