Skip to main content

Panggilan daripada Penjara

Hari ini abah menerima panggilan daripada penjara Pengkalan Chepa. Panggilan tu bukanlah sebab saya melakukan kesalahan jenayah tetapi pegawai dari sana bertanyakan tentang saya untuk diserap menjadi tenaga pengajar di sana. Seminggu sekali mereka mengadakan kuliah fardhu ain dan lain-lain untuk banduan di dalam penjara.

Rezeki datang mencurah-curah sekembalinya saya daripada bumi barakah mesir untuk bercuti. Saya fikir percutiaan saya hanya dihabiskan di rumah bersama keluarga tanpa komitmen luar. Bermula dengan kuliah maghrib di masjid dan surau sekitar Kota Bharu, kuliah sekali seminggu di Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan jemputan ceramah Ramadhan di JKR Negeri Kelantan.

Sepanjang Ramadhan pula saya diamanahkan untuk menyampaikan kuliah subuh di sebuah surau seperti yang saya pernah cerita di entri yang lalu.

Selepas daripada hari raya sehingga sekarang saya hanya memberikan kuliah di tiga tempat sahaja untuk dua kuliah maghrib dan satu kuliah sebelum Jumaat di Kolej Kejururawatan. Pada hari-hari yang lain saya bergilir menggantikan kuliah abah saya. Kadang-kadang je. Malas sangat nak ikut abah. Sebab kalau saya ikut mesti dia tak nak mengajar dan minta saya gantikan.. Last minute lak tu bagitahu. Sebab kalau bagitahu awal-awal saya akan mencari alasan untuk tidak ikut bersama dia.. hehehe.. Saya fikir saya tidak mampu untuk memberikan komitmen di tempat-tempat yang lain kerana saya akan terbang lagi ke Mesir pada 4.12 ini.

"Bersama ayahanda tercinta di pagi syawal yang mulia"

Tempoh sebulan yang berbaki saya ingin menghabiskannya di rumah bersama adik-adik. Hari-hari masa saya dihabiskan dengan menjadi driver mereka. Menghantar dan mengambil mereka ke sekolah. Nak ke pasaraya la. Nak beli itu dan ini. Dengan kereta honda lama milik abang saya yang telah diamanahkan kepada saya kerana dia bekerja di Kuala Lumpur saya terpaksa ke sana ke mari untuk memenuhi permintaan mereka walaupun tanpa lesen memandu yang sah.. Ingat nak buat lesen kat Mesir. Balik terjemah kat sini. Kat sana nak buat lesen tidak serumit di negara kita. Bayarannya pun murah.

Berbalik kepada cerita penjara tadi, saya tidak dapat menerima tawaran itu disebabkan ia bermula pada bulan 12 nanti. Saya akan ke Mesir 4.12 ini. Jika ada kesempatan dan rezeki pada masa yang akan datang, insyAllah saya akan menerimanya. Pada saya mengajar banduan adalah suatu pengalaman yang amat bermakna kerana di sana kita akan melihat wajah-wajah dan tangisan penuh keinsafan seperti yang pernah diceritakan oleh abah saya ketika memberikan kuliah di sana.

Buat pengetahuan kawan-kawan, abah saya dah hampir dua tahun mengajar di sini. Abah saya yang merekemenkan nama saya sebenarnya. Tanpa dia, tidak ada yang mengenali diri ini. Huhuhu.. Kredit untuk abah saya.. Abah saya juga sebenarnya yang memaksa saya untuk mengajar selepas dia melihat anaknya asyik tidur je. Saya sebenarnya tidak terlalu berkeyakinan untuk terjun ke dalam masyarakat dan memikul tanggungjawab seorang Rasul yang amat mencabar ini. Di dalam keterpaksaan akhirnya saya menemui jalan kerelaan..

Benarlah firman Tuhan ;

يرفع الله الذين امنوا منكم والذين اوتوا العلم درجات

"Allah Ta'ala akan mengangkat orang yang beriman daripada kalangan kamu dan juga orang yang Allah Ta'ala kurniakan kepadanya ilmu dengan beberapa darajat (kedudukan)"
-al-mujadilah ayat 11-

Darajat di dalam ayat bermaksud umum di mana Allah Ta'ala menggunakan lafaz nakirah bukan ma'rifah. Boleh jadi darajat yang Allah kurniakan dengan rezeki, dengan kemuliaan, dengan pangkat dan seumpamanya. Dan Allah Ta'ala juga menggunakan lafaz jama' yang menunjukkan banyak.

Ibnu Abbas di tanya tentang makna darajat maka jawab beliau;

“lil ulama’I darajat fauqa al-mu’minina bisab’imi’ati darajat ma baina al-darajataini masiratu khamsami’ati ‘am.”

"Ertinya orang-orang yang berilmu memiliki darajat di atas orang-orang mukmin sebanyak tujuh ratus darajat, jarak di antara dua derajat tersebut perjalanan lima ratus tahun"


Hal ini disebut oleh Al-Ghazali Rahimahullah Ta'ala wanafa'ana bi'ulumihi fiddaraini di dalam karya agungnya ihya' ulumiddin.

Sesungguhnya sesiapa yang ingin diberikan kebaikan oleh Allah SWT maka diberikan kefahaman terhadap agama. Seperti sabda Baginda SAW ;


من يرد الله به خيرا يفقه في الدين


Terlalu banyak jika ingin dibicarakan tentang kelebihan ilmu dan orang yang dimuliakan oleh Allah dengan ilmu.

Saya tidak bermaksud untuk menyatakan saya tergolong daripada golongan ulama' seperti imam-imam yang agung seperti Al-Ghazali, As-Syafie, Al-Bukhari dan lain-lain. Jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan mereka. Debu kaki mereka belum tentu menyamai ilmu yang saya miliki. Terlalu kerdil diri ini. Namun langkah harus diteruskan agar amanah Allah ini tidak dipersoalkan nanti.

Tetapi pada perkongsiaan ini saya ingin memberikan semangat dan keyakinan kepada mereka-mereka yang dipilih oleh Allah untuk belajar ilmu-Nya agar yakin dengan janji Allah pada kita. Jika dulu pernah ditanya kepada saya. Awak belajar agama nak makan apa, nak kerja apa nanti?? Sesungguhnya rezeki itu milik Allah. Orang yang mempersoalkan rezeki saya, rezekinya juga diberikan oleh Allah.

Saya tidak pernah berlapar berada berada pada jalan ini dan jika saya berlapar sekalipun saya tidak akan berganjak dari jalan ini. Kelaparan, kesakitan, penghinaan dan cacian merupakan ujian Allah. Para Nabi yang maksum pun diuji begitu sekali, bagaimana pula dengan kita?? Kita harus sedar ujian Allah kepada hamba-Nya dengan dua tujuan yang keduanya memberi kebaikan kepada hamba-Nya. Sebagai kaffarah kepada dosa-dosa yang lalu atau Allah Ta'ala ingin mengangkat darajatnya dengan kesusahan yang dialami.

Sesungguhnya Nabi-Nabi Allah dan Rasul-Rasul-Nya adalah manusia yang banyak diuji. Di kalangan mereka ada yang diuji dengan ujian yang lebih berat sehingga digelar mereka itu sebagai 'ululazmi.

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون

"Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan oleh Allah untuk berkata “kami telah beriman” sedangkan mereka masih belum diuji"


Allah Ta'ala memberikan peringatan kepada kita dalam uslub pertanyaan. Takut-takut kita menyangka kita dibiarkan mengaku beriman kepada Allah tetapi tidak diuji oleh Allah untuk mengetahui kebenaran iman yang kita iqrarkan dengan lisan.

Ya Allah tetapkan hatiku di atas agama-Mu.. Matikan aku kerana memperjuangkan agama-Mu.. Ameen Ya Rabb..

Comments

  1. sejuk perut ibu ustaz mengandungkan kamu..mendapat anak yg baik dan soleh alhamdulilah...

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..saya bukan yang terbaik tetapi selalu ingin menjadi yang terbaik di mata kedua ibubapa..syukran nana..

    ReplyDelete
  3. salam...
    amin ya rabbal alamin...
    moga2 ALLAH SWT permudahkan jalan kepada kita semua dalam menempuhi hidup ini...
    saya tertarik dengan ucapan ustaz...
    *dalam keterpaksaan saya temui jalan kerelaan...
    memeg btul kata2 ustaz,kdg2 kita bermula dgn keterpaksaan,tp akhirnya kerelaan2 akan wujud...
    ......syukran.....

    ReplyDelete
  4. wslm..
    ameen ya Rabbal 'alameen..
    syukran di atas komen saudari..
    afwan..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Al-Quran itu qadim

Sebelum daripada kita memahami Al-Quran itu qadim maka kita fahami dahulu makna qadim dan pembahagiannnya supaya jelas kefahaman kita mengikut pengajian ilmu tauhid.

Apakah yang dimaksudkan dengan qadim. Qadim bermaksud tidak ada permulaan bagi adanya. Di dalam bahasa arab qadim juga bermaksud lama tetapi bukan ini yang dimaksudkan dengan qadimnya kalamullah (al-Quran) kerana lama itu ada permulaannya.. seperti kita katakan bangunan itu lama.. lama di sini menunjukkan adanya permulaan kepada adanya bangunan tersebut.

Ulama’ ilmu kalam atau ilmu usuluddin membahagikan qadim itu kepada 3 ;

1) Qadim zamani.
2) Qadim idhofi.
3) Qadim zaati.

Qaqim zamani : Qadim yang melibatkan masa. Qadim ini ada permulaan bagi adanya. Seperti contoh yang kita sebutkan di atas. Bangunan itu qadim. Bangunan itu lama. Tetapi lamanya ada permulaan.

Qadim idhofi : Qadim yang meibatkan sandaran atau nisbah. Seperti kita katakan ayah lebih qadim daripada anak. Seorang ayah lahirnya sebelum lahirnya si anak. Mustahil p…

Dua tangan Allah??

Menjawab kepada persoalan akhi oo Raiser di chatbox mengenai ayat 75 surah sod. Syubhah yang dibawa oleh golongan wahabi yang tidak kunjung padam ini telah mengelirukan ramai orang. Menjadi tanggungjawab kepada yang tahu untuk menjelaskannya dan menjadi fardhu kifayah sepertimana yang disebut di dalam kitab-kitab akidah.
Soalan akhi oo Raiser : Bagaimana nak takwil ayat [aku menciptakan kau dgn dua tangan]? sebab ada yang bertanya pada ana, kalau tangan tu ditakwilkan dengan kuasa maknanya dua tangan tu dua kuasa la, ana nak je jawab soalan tu tapi ikut akal la, tapi takut tak valid.
Firman Allah yang dimaksudkan akhi;
قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْعَالِينَ“(Allah) berfirman wahai iblis apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu merasa (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?” (Terjemahan mengikut Al-Quran dan terjemahan Ja…

Sejarah Ringkas Kaum Musyabbihah/Mujassimah

"Gambaran tuhan bg agama yahudi yang duduk di atas arasy"
Kaum musyabbihah ertinya kaum yang menyerupakan. Kaum musyabbihah digelari kaum musybih (menyerupakan) kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya. Mereka mengatakan bahawa Allah bertangan, berkaki, bertubuh seperti manusia.
Ada juga orang yang menamakan kaum ini dengan “kaum mujassimah”, yakni kaum yang mengisbatkan tubuh kerana mereka mengisbatkan tubuh bagi Allah. Mereka mengatakan Allah bertubuh terdiri daripada darah, daging, bermuka, bermata, bertangan, berkaki bahkan ada yang mengatakan bahawa Allah itu mempunyai alat kelamin dan kelaminnya itu laki-laki. (lihat syarah nahjul Balaghah juzuk iii, hal. 255).
Ada juga orang yang menamakan mereka dengan “kaum hasyawiyah”.
Hasyawiyah ertinya percakapan kosong, percakapan di luar batas, percakapan hina-dina. Jadi, mereka itu adalah kaum “bercakap kosong”.
Kebanyakan kaum musyabbihah atau mujassimah ini berasal dari orang-orang yang bermazhab Hanbali, tetapi Imam A…