Skip to main content

Diari Seorang Pemidato

"Gambar kenangan delegasi KUSZA ke KUIS"


Assalamualaikum,, ni Mohd Al-Amin ke??

Wa'alaikumussalam.. Ya saya, siapa ni?? Saya cuba mendapatkan kepastian daripada pemanggil yang saya tidak berapa cam suaranya di dalam telefon.

Ana ni Ustaz Talib. Ust Talib memperkenalkan diri.

Ya Ustaz Talib. Ada apa Ustaz? Saya cuba bertanya dengan hati penuh persoalan menanti jawapan daripada Ustaz Talib.
"Aku ada buat salah apa ya". Hati saya tertanya-tanya membuat seribu andaian.

Enta boleh datang ke pejabat ana di HEP tak?

Sekarang ke Ustaz??

Ya,,sekarang. Cepat sikit ya..

Seribu persoalan bermain di fikiran saya. Tertanya-tanya apakah yang telah saya lakukan sehingga dipanggil ke HEP. Saya cuba bergegas ke sana dengan hati penuh debaran. Ya Allah,, ampunilah dosa hamba-Mu ini.

Kedatangan saya di sambut dan di jemput ke bilik Ustaz Talib. Ini kali pertama saya masuk ke bilik pegawai HEP walaupun sudah dua tahun di KUSZA.

Ada apa ya Ustaz?? Saya mulakan perbualan kerana tidak sabar-sabar mendengar apa yang akan diperkatakan oleh Ustaz Talib. Ustaz Talib merupakan pensyarah KUSZA dan merangkap pegawai di HEP yang bertanggungjawab menguruskan pertandingan berkaitan dengan bahasa arab.

Sebenarnya macamni. IPTIM ada menganjurkan pertandingan khitobah (pidato) bahasa arab. Saya minta enta untuk mewakili KUSZA. Enta tidak diberi pilihan untuk menolak sebab dah tak ada orang lain yang saya harapkan. Ustaz Talib menjawab persoalan yang terbuku di minda saya dengan tawaran muktamad yang tidak diberi pilihan untuk saya tolak.

IPTIM ialah Institut Pengajian Tinggi Islam Malaysia yang terdiri daripada KUSZA, KUIS, INSANIAH, Matrikulasi UIA, KIAS dan beberapa lagi institut pengajian tinggi Islam di seluruh Malaysia. Setiap Tahun IPTIM akan menganjurkan pelbagai pertandingan seperti debat, pidato, nasyid, hafazan Al-Quran, tilawah dan lain-lain acara. Manakala pidato ada tiga kategori iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Tahun ini KUIS atau dulu dikenali sebagai KISDAR dipilih menjadi tuan rumah.

Selepas mendengar penjelasan Ustaz Talib, hati saya sedikit tenang kerana andaian saya tidak benar. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan disiplin yang melibatkan HEP tetapi fikiran saya mula melayang memikirkan tawaran yang saya tidak diberi pilihan untuk menolaknya. Ini kali pertama seumur hidup saya untuk menyertai pertandingan sebesar ini. Bahasa Arab pula tu. Apakah saya mampu untuk menyempurnakan harapan KUSZA dan semua pensyarah lebih-lebih lagi Ustaz Talib yang saya anggap seperti ayah saya sendiri.


Sebenarnya kami telah biasa bersama ketika menjalani latihan debat Bahasa Arab. Beliau merupakan antara jurulatih kami dan pernah menjadi Ketua Hakim untuk Pertandingan Debat Bahasa Arab peringkat Intervarsity di UIAM. Beliau antara pakar Bahasa Arab di KUSZA yang menjadi rujukan pelajar-pelajar dan juga pensayarah-pensyarah yang lain.

Sebenarnya saya bukanlah pilihan pertama Ustaz Talib. Pada peringkat awal Ustaz Talib telah meminta kawan saya untuk menyertai pertandingan ini tetapi pada saat-saat akhir dia menolak kerana merasa tidak berkeyakinan untuk menyertainya kerana tempohnya terlalu hampir.

Bila pertandingan tu Ustaz?? Tanya saya dengan harapan pertandingan itu bukan dalam masa terdekat.

Lusa.. Jawab Ustaz Talib kembali.

Ya Allah!!! Bagai nak gugur jantung saya mendengar jawapan yang tidak saya duga itu. Kalau tak sebulan pun paling tidak seminggu untuk saya membuat latihan. Ini tidak. Satu hari sahaja tempoh untuk saya mempersiapkan diri sebaik mungkin.

Kita akan bertolak malam ni. Pertandingan tu dijangka petang lusa. Petang ni enta datang ke rumah ana untuk mengambil tajuk dan isi-isi penting yang telah ana siapkan. Ustaz talib memberi penjelasan kepada saya.

Hati saya sedikit lega. Sekurang-kurangnya Ustaz Talib telah menyediakan semuanya. Tugas saya hanya menghafaz dan memahami tajuk yang diberikan. Tajuknya ialah tentang kepentingan teknologi maklumat kepada pelajar di universiti. Masa yang diberikan selama 7 minit. Peraturan yang ditetapkan kepada pemidato tidak boleh membaca atau memegang nota. Kerana ini pertandingan pidato. Tidak dapat tidak mesti irtijali (spontan). Begitulah kedengaran penerangan Ustaz Talib mengakhiri perjumpaan kami pada petang itu.

Setelah kembali daripada rumah Ustaz Talib petang itu saya terus menaip dan mem”print” kecil nota tersebut dengan membuat 4 pages per sheet. Tujuan saya untuk memegangnya semasa pertandingan tersebut kerana saya tidak yakin mampu menghafal 3 muka surat teks pada kertas kajang yang ditulis oleh Ustaz Talib untuk saya dalam tempoh satu hari. Saya merasakan untuk menghabiskan 7 minit di atas pentas dengan menyampaikan pidato di dalam bahasa arab bukanlah sesuatu yang mudah. 7 minit bagaikan 7 jam. Saya bisa dimalukan oleh diri sendiri di atas pentas jika saya hanya membisu. Nak tak nak saya terpaksa bercakap dan menyampaikan pidato saya. Jalan terakhir yang saya anggap selamat dengan menyediakan nota.

Kalah pun kalah la. Janji saya tidak dimalukan oleh diri sendiri di atas pentas tersebut. Bisik hati kecil saya.

Sepanjang perjalanan dari Terengganu ke Selangor saya manfaatkan sebaik mungkin. Kawan-kawan yang mewakili acara lain sedang enak diulik mimpi. Dalam suasana suram dengan hanya ditemani lampu jalan dan lampu bas yang malap tersedia di atas tempat duduk, saya cuba menghafal dan mengulangi setiap kalimah dan ayat yang disediakan oleh Ustaz Talib yang terkenal dengan kepakaran Bahasa Arabnya.

Sekejap-kejap saya terlelap dan tersedar kembali dengan gangguan silauan lampu jalan dan bunyi kenderaan lain. Setelah sedar saya kembali menghafal. Tubuh berasa begitu penat dek perjalanan yang jauh.


"Hanya mata yang mampu menceritakan segalanya"


Kami sampai selepas subuh di KUIS. Kemudian kami dibawa ke UKM untuk bermalam di sana.

Satu malam di UKM saya cuba menghafal dan terus menghafal dan membuat rehearsal di depan Ustaz Talib. Masa dirasakan begitu pantas berlalu. Mentari sudah menampakkan diri.

Enta mesti buat yang terbaik. Ana tahu enta mampu melakukannya. Ustaz Talib memberi sedikit motivasi kepada saya setalah melihat saya hilang keyakinan diri.

Malam ini saya perlukan rehat secukupnya untuk menghadapi peperangan pada esok hari. Saya tidak boleh terlalu memaksa diri sehingga persediaan mental saya terganggu. Tidur mesti kena tidur. Kepenatan perjalanan yang jauh masih lagi dirasa.

"Mencari semangat yang hilang"


Petang keesokannya pertandingan bermula selepas waktu zohor. Saya bertemu dengan rakan sepertandingan daripada Matrikulasi UIA. Kebetulan orang Kelantan.

Enta prepare berapa lama untuk pertandingan ni?? Saya mulakan perbualan.

Dua bulan..Katanya.

Teks tulis sendiri ke?? Tanya saya lagi.

Teks saya disediakan oleh pensyarah kami, orang arab.

Ooo..

Tersentak saya dengan jawapan rakan yang saya baru kenali sebelum pertandingan bermula. Rupa-rupanya setiap Universiti telah dimaklumi lebih awal tentang pertandingan ini. Cuma saya sahaja yang lewat. Kemungkinan KUSZA lambat membuat keputusan untuk menghantar wakil ataupun tidak.

Setelah membuat undian saya mendapat giliran yang ke-7. Itu sedikit melegakan saya. Sekurang-kurangnya saya dapat menyaksikan dulu bagaimana sahabat saya dari universiti yang lain beraksi di atas pentas.

Semasa menunggu giliran, saya cuba lagi menghafal dan mengingati teks saya. Tetapi di saat-saat genting seperti itu membuat saya lebih tertekan. Entah mana peranggan yang patut saya dahulukan dan yang mana patut saya kemudiankan. Semuanya berterabur dan berkecamuk.
Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan nota saya kepada Ustaz Azhar yang menjadi murafiq (pengiring) dan saya anggap kehadirannnya menjadi pembakar semangat saya. Ustaz Azhar merupakan pensyarah subjek Nahu saya yang terkenal dengan kepakaran qawaid arabiyyahnya. Beliau juga antara hakim pertandingan debat bahasa Arab yang mewakili KUSZA. Sekarang dilantik sebagai Pegawai Pusat Islam Universiti Darul Iman Kampus KUSZA.

Nota yang saya pegang menganggu saya. Saya menyedari jika saya membawa nota, saya akan terlalu berharap kepada nota tersebut dan sudah tentu saya tidak akan berpidato tetapi membaca di atas pentas. Ini akan menganggu konsentrasi saya dan gaya persembahan yang akan saya persembahkan. Apapun yang terjadi saya serahkan kepada Allah SWT. Yang bakal keluar daripada mulut saya itulah pidato saya pada hari itu. Yang pasti saya tidak akan membisu di atas pentas seperti patung yang tidak bernyawa. Inilah kata-kata monolog yang membakar semangat saya.

Al-Aan,, al-musytarik as-Saabi’ min KUSZA, Mohd Al-Amin Ibnu Dawud,, Falyatafaddhol masykura.

Begitulah kedengaran Pengerusi Majlis mengumumkan tibanya giliran saya. Tepukan gemuruh daripada rakan-rakan KUSZA dan pensayarah-pensayarah serta pegawai HEP yang menjadi pengiring kami menambahkan keyakinan saya untuk melakukan yang terbaik.


"Saya sedang meyampaikan pidato. Ini satu-satunya gambar yg ada sebab kawan saya tak nak ganggu konsentrasi saya dengan cahaya flash katanya. Mohon maaf kualiti kurang memuaskan"



Saya mulakan pidato dengan kalam pembuka bicara memuji Allah SWT dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Kemudian saya melontarkan hujjah-hujjah saya dengan penuh keyakinan sebagai seorang pemidato selama 7 minit yang menjadi peraturan pertandingan tanpa lebih dan kurang walaupun seminit jika peserta ingin menang dalam pertandingan tersebut.

Ting..ting.. loceng kedua yang memberi isyarat masa telah pun tamat. Alhamdulillah.. kalam terakhir saya tidak melebihi atau mengurangi masa yang ditetapkan. Loceng pertama membolehkan saya bersedia untuk berhenti kerana tempohnya seminit sebelum loceng kedua yang merupakan loceng terakhir dibunyikan.

Saya turun dari pentas dan kembali ke tempat duduk saya. Dalam perjalanan ke tempat duduk, saya ditegur oleh seorang Syeikh Arab yang berjubah putih dan berjambang dengan wajah yang memberi seribu ketenangan kepada hati saya yang bercelaru. Syeikh itu daripada Kolej Universiti INSANIAH yang merupakan bapa kepada peserta daripada Kolej Universiti tersebut.

Mabruk.. Ucapnya dengan senyuman yang menyenangkan..

Syukran.. Saya membalas sambil melemparkan senyuman kembali.

Apa yang tersirat di hati saya hanya Tuhan yang tahu. Tetapi dengan ucapan Syeikh itu memberi saya sedikit harapan yang persembahan saya tidaklah seteruk mana. Jika tidak mana mungkin dia boleh mengucapkan tahniah (Mabruk) dengan pidato saya. Bisik hati saya. Andai saya ditakdirkan kalah sekalipun saya telah berpuas hati dengan ucapan pengi’tirafan daripada syeikh berbangsa arab itu.

Akhirnya amanah yang diberikan kepada saya telah pun selesai saya laksanakan. Saya tidak pernah mengharapkan kemenangan pada hari itu kerana saya sedar persediaan saya berbanding rakan-rakan yang lain. Apa yang saya harapkan saya mampu buat yang terbaik dan tidak memalukan diri sendiri.

Setelah selesai semua peserta beraksi kami diberi rehat untuk para hakim membuat keputusan.
InsyAllah enta ada harapan untuk dapat nombor. Tetapi tak tahu nombor berapa. Ustaz Azhar memberi pandangan peribadi sebagai penonton.

Ada suara-suara dibelakang yang memuji enta. Katanya tidak ada kesilapan qawaid arabiyyah (kaedah bahasa arab). Seorang rakan yang mewakili pidato bahasa melayu memberitahu saya reaksi penonton daripada kalangan pensyarah-pensyarah universiti yang lain yang mengiringi peserta mereka.

Akhirnya tibalah masa yang dinantikan untuk mengumumkan pemenang daripada tempat kelima sehingga johan.

Pemenang kelima jatuh kepada……. (saya tak ingat universti mana tapi bukan saya)

Bekecai harapan saya. Pemenang kelima adalah pemenang terakhir. Saya kira jika saya mendapat nombor seperti kata Ustaz Azhar, nombor 5 adalah selayaknya bagi saya. Saya tidak mengharapkan nombor 4 apatah lagi nombor 1.

Pemenang keempat jatuh kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Memang saya sudah jangka bukan saya akan memenangi tempat keempat.

Tempat ketiga jatuh kepada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Dipersilakan Mohd Al-Amin Bin Daud ke pentas.

Ya Allah,, betul ke nama aku disebut?? Saya cuba mencari kepastian. Bagai tersedar dari lamunan mimpi yang panjang. Hati ini sebak menahan air mata kegembiraan gugur ke bumi. Alhamdulillah. Ya Allah kepada-Mu kupanjatkan segala kesyukuran..

Mabruk,, mabruk.. ucapan tahniah bertalu-talu daripada Ustaz-Ustaz dan rakan-rakan yang kukenali dan yang tidak kukenali.

Besar sungguh anugerah yang Engkau berikan kepada hamba-Mu ini. Hati saya merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang menetapkan di azali lagi pemenang tempat ketiga adalah saya.

Tempat kedua jatuh kepada Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Seperti yang dijangka, rakan saya yang mengambil masa dua bulan untuk persediaan itu akan mendapat tempat yang selayak untuknya.

Pemidato terbaik jatuh kepada Kolej Universiti INSANIAH. Beliau merupakan anak kepada Syeikh Arab yang megucapkan tahniah kepada saya tadi. Selayaknya orang arab sepertinya akan memenangi pidato bahasa arab yang merupakan bahasa ibundanya.

Saya berpuas hati dengan kemenangan ini walaupun saya tidak dinobatkan sebagai pemidato terbaik kerana tempat ketiga terasa begitu besar dan bermakna buat saya yang tidak ada persediaan yang cukup untuk menghadapinya. Lebih-lebih lagi ini kali pertama saya menyertainya.

Allah mengajar saya sesuatu daripada pengalaman ini.

Sesuatu kejayaan bukanlah kerana lama masa yang kita perlukan tetapi kecekalan dan kesungguhan kita mengharunginya walaupun singkat masanya.

Kejayaan di dalam setiap pertandingan bukanlah matlamat utama. Menyertai sesuatu pertandingan sebagai medan belajar dan melatih diri. Penyertaan itu sudah dianggap kejayaan walaupun kita tidak memenangi pertandingan tersebut.

Sesungguhnya kejayaan itu milik Allah dan Allah berkuasa memberikan kepada sesiapa pun.
Kemungkinan jika saya diberi tempoh yang lama saya tidak terlalu memaksa diri kerana saya merasakan tempohnya masih panjang. Tetapi dengan tempoh satu hari satu malam saya mampu melakukan sepertimana orang yang mengambil masa selama 2 bulan.

Benarlah kata hukama’ : Umur yang pendek dengan penuh ketaatan itu terlebih baik daripada umur yang panjang dengan penuh kemaksiatan kepada Allah SWT.

Bukan pendek atau panjang nilaian Allah tetapi kualiti daripada umur kita. Jika panjang umur dalam ketaatan itu terlebih baik.

Jangan menjadikan tempoh masa sebagai alasan kepada kita untuk berjaya

Kerana,,

Kejayaan kita diukur dengan sejauh mana usaha yang kita lakukan untuk mencapainya. Orang yang berjaya adalah orang yang berusaha ke arah kejayaan walaupun dia menemui jalan kegagalan.

Dan yang pengajaran paling besar kepada saya ialah jangan mengaku kalah sebelum berjuang.



"Hadiah tempat ketiga yang menjadi kenangan sepanjang hayat"

"Sijil pengi'tirafan daripada KUIS untuk saya"

"Saya dan ayahanda Ust Talib. Jazakallahu khairan jaza' di atas kepercayaan yg diberikan kepada saya dan di atas segala tunjuk ajar serta nasihat yg diberikan"

Comments

  1. satu pengalaman yang menarik dan patut dicontohi.bila kawe baca post nih ,terasa diri ini kembali bersemangat untuk terus berusaha. betul kata amin, masa bukan menjadi ukuran untuk kita berjaya, tetapi kecekalan dan kekuatan diri yang menjadikan kita bersemnagat untuk berjaya walupun dalam masa yang singkat. mudah-mudahan post ini membakar semangat pembaca yang lain untuk berusaha. alfin mabruk ya akhi...

    ReplyDelete
  2. terima kasih sahabatku.. inilah matlamat saya menulis entry ni..memberi semangat kepada sahabat2 melalui sedikit pengalaman yang saya lalui..

    ReplyDelete
  3. Tahniah.Ana rasa di UKM ana jmp anta n shbt2 br samapi dr Tganu untuk mnginap disana. Kebetulan ana ada meeting kelab debat. Sweet Memories. Sangat menarik, lepas ni boleh jd trainer pidato UDM plak kot :-)

    ReplyDelete
  4. Syukran Ust Hariri..

    Na'am Soh keda..InsyAllah.nak train UDM nak lawan USIM ni.hehehe..debat arab pernah menang sekali je dgn swing USIM. Dengan team utama USIM tak pernah menang lagi ni.hehehe..

    ReplyDelete
  5. maulana kita memang hebat dah.. aku je yang awal mengaku kalah sebelum berjuang aritu... hehehe.. tak dinafikan memang payah nak yakinkan diri sniri yang kita boleh.. tapi skali kita dapat yakinkan diri sampai bila2 pun kita akan tau yang kita memang boleh.. tak gitu maulana? :)

    ReplyDelete
  6. Eh hang ke yang tarik diri hari tu?? bukan hafiz ke?? betul tu mie. keyakinan akan kita datang setelah kita menyedari kemampuan kita untuk melakukannya.

    Hang pun apa kurangnya mie. kita ni Allah bagi kelebihan masing2.saling bljr dan melengkapi satu sama lain. ni ada debat lak ni kat uia. ingat nak gi jd pengiring bebudak ni.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Al-Quran itu qadim

Sebelum daripada kita memahami Al-Quran itu qadim maka kita fahami dahulu makna qadim dan pembahagiannnya supaya jelas kefahaman kita mengikut pengajian ilmu tauhid.

Apakah yang dimaksudkan dengan qadim. Qadim bermaksud tidak ada permulaan bagi adanya. Di dalam bahasa arab qadim juga bermaksud lama tetapi bukan ini yang dimaksudkan dengan qadimnya kalamullah (al-Quran) kerana lama itu ada permulaannya.. seperti kita katakan bangunan itu lama.. lama di sini menunjukkan adanya permulaan kepada adanya bangunan tersebut.

Ulama’ ilmu kalam atau ilmu usuluddin membahagikan qadim itu kepada 3 ;

1) Qadim zamani.
2) Qadim idhofi.
3) Qadim zaati.

Qaqim zamani : Qadim yang melibatkan masa. Qadim ini ada permulaan bagi adanya. Seperti contoh yang kita sebutkan di atas. Bangunan itu qadim. Bangunan itu lama. Tetapi lamanya ada permulaan.

Qadim idhofi : Qadim yang meibatkan sandaran atau nisbah. Seperti kita katakan ayah lebih qadim daripada anak. Seorang ayah lahirnya sebelum lahirnya si anak. Mustahil p…

Dua tangan Allah??

Menjawab kepada persoalan akhi oo Raiser di chatbox mengenai ayat 75 surah sod. Syubhah yang dibawa oleh golongan wahabi yang tidak kunjung padam ini telah mengelirukan ramai orang. Menjadi tanggungjawab kepada yang tahu untuk menjelaskannya dan menjadi fardhu kifayah sepertimana yang disebut di dalam kitab-kitab akidah.
Soalan akhi oo Raiser : Bagaimana nak takwil ayat [aku menciptakan kau dgn dua tangan]? sebab ada yang bertanya pada ana, kalau tangan tu ditakwilkan dengan kuasa maknanya dua tangan tu dua kuasa la, ana nak je jawab soalan tu tapi ikut akal la, tapi takut tak valid.
Firman Allah yang dimaksudkan akhi;
قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْعَالِينَ“(Allah) berfirman wahai iblis apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu merasa (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?” (Terjemahan mengikut Al-Quran dan terjemahan Ja…

Sejarah Ringkas Kaum Musyabbihah/Mujassimah

"Gambaran tuhan bg agama yahudi yang duduk di atas arasy"
Kaum musyabbihah ertinya kaum yang menyerupakan. Kaum musyabbihah digelari kaum musybih (menyerupakan) kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya. Mereka mengatakan bahawa Allah bertangan, berkaki, bertubuh seperti manusia.
Ada juga orang yang menamakan kaum ini dengan “kaum mujassimah”, yakni kaum yang mengisbatkan tubuh kerana mereka mengisbatkan tubuh bagi Allah. Mereka mengatakan Allah bertubuh terdiri daripada darah, daging, bermuka, bermata, bertangan, berkaki bahkan ada yang mengatakan bahawa Allah itu mempunyai alat kelamin dan kelaminnya itu laki-laki. (lihat syarah nahjul Balaghah juzuk iii, hal. 255).
Ada juga orang yang menamakan mereka dengan “kaum hasyawiyah”.
Hasyawiyah ertinya percakapan kosong, percakapan di luar batas, percakapan hina-dina. Jadi, mereka itu adalah kaum “bercakap kosong”.
Kebanyakan kaum musyabbihah atau mujassimah ini berasal dari orang-orang yang bermazhab Hanbali, tetapi Imam A…