Laporan polis ke atas laman web dan penulis blog tersebut turut dilakukan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Balai Polis Putrajaya di sini pada pukul 12.30 petang. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang mengetuai kumpulan agensi tersebut berkata, pihaknya memberi perhatian berat terhadap beberapa artikel yang ditulis oleh Raja Petra antaranya yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam, Nabi Muhammad dan umat Islam.
''Tulisan tersebut yang bersikap prejudis dan kelihatan bersuara bagi pihak orang lain yang tidak memahami Islam atau seperti pendekatan biasa media Barat. ''Ia seolah-olah menjadi penghubung kepada pihak berkenaan untuk menghina Islam, kita minta pihak berkuasa menyiasat tulisan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan ambil tindakan tidak bertamadun," katanya kepa- da pemberita di sini hari ini. Turut hadir membuat laporan polis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd.; Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan YADIM, Dr. Abdul Ghani Mohamad.
Laporan tersebut membabitkan artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim dan ulasan-ulasan pada artikel bertajuk Not all Arabs are descendants of the Prophet yang didakwa menghina umat Islam dan Nabi Muhammad. Baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat akses laman web Malaysia Today tetapi ia tetap boleh dilayari sehingga kini apabila pemiliknya menggunakan pelayar Internet yang lain.
Menurut Wan Mohamad, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak berkenaan kerana Jakim tidak akan berupaya mengawal kemarahan umat Islam sekiranya tulisan-tulisan menghina sedemikian terus disebarkan.
Beliau berkata, persoalan sama ada penulis blog berkenaan perlu menarik balik tulisan-tulisan atau ulasan dalam laman web itu adalah tidak penting kerana pihak berkuasa mempunyai peruntukan undang-undang untuk bertindak. Katanya: ''Apa yang menghalang dia membuka laman web atau saluran lain, kalau sekat Malaysia Today, dia boleh tulis dalam pelbagai bentuk. Jadi, terserah kepada pihak keselamatan yang lebih arif apa yang perlu diambil tindakan.
''Kita nak jalinkan hubungan baik dengan penganut agama lain tetapi kalau ada penulis perosak seumpama ini, ia boleh mengganggu hasrat melihat rakyat hidup harmoni dan memahami antara satu sama lain. ''Kita baru reda isu Majlis Peguam, tidak mahulah isu ini akan bertambah sebab yang rugi nanti bukan orang Islam sahaja tetapi semua rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad berkata, Jakim sentiasa melakukan pemantauan terhadap artikel-artikel yang dilihat menghina Islam termasuk sudah mengenal pasti kelompok yang cenderung menyinggung perasaan dan maruah umat Islam.
''Sejak dari awal penubuhan Jakim, ini adalah sebahagian tugas kita memantau bahan-bahan penerbitan. Kita harap mereka tidak menjemput kita untuk membuat laporan polis dan bukan tugas kita untuk memberikan amaran kerana masing-masing memahami undang-undang.
''Mereka bebas menulis apa saja tetapi jangan menghina Islam dan mereka berhak dikenakan tindakan kalau melanggar undang-undang," katanya. Sumber: Utusan Malaysia
Pandangan Al-Amin Daud
Secara peribadi saya menyokong tindakan JAKIM,JAWI, MAIWP dan YADIM melaporkan kebiadaban propaganda Raja Petra yang menghina Islam kepada pihak Polis.
Pertamanya kita ketepikan sentimen parti atau politik. Soal dia parti mana kita ketepikan dahulu kerana ini soal aqidah.. soal ISLAM atau KUFUR. Cuba kita lihat isu ini dari kacamata agama dan aqidah Islam. Apakah kenyataan dan tulisan Raja Petra bercanggah atau tidak dengan aqidah Islam?? Yang salah tetap salah walau siapa pun dia dan kita wajib memperbetulkan supaya umat Islam tidak tersesat dengan kenyataan-kenyataan sebegini.
Rasulullah telah mengingatkan kita ;
لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق
"Tidak ada ketaatan kepada makhluk pada maksiat kepada Allah"
Raja Petra terkenal dengan pemikiran liberalnya dan acap kali telah menghina Islam dan mencetuskan kemarahan umat ini. Diharap dengan laporan yang dibuat, pihak keselamatan akan bertindak mengikut lunas-lunas undang-undang yang ada untuk menghalang dan sebagai tanda AMARAN kepada mereka-mereka yang berani dan biadap untuk menghina Islam atau Nabi Muhammad SAW.
Apakah kita sebagai umat Islam yang mengakui Islam sebagai agama kita yang bercita-cita mendaulahkan agama Allah di muka bumi ini dan mengaku Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi kita boleh berdiam diri jika ada golongan-golongan yang celupar menghina agama kita dan Nabi kita??
Sedarilah, mendaulahkan Islam itu bukan hanya menjadikan negara sebuah negara Islam tetapi yang paling penting menjadikan rakyat negara itu benar-benar Muslim dan mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Comments
Post a Comment